EQMP input penting penguatkuasaan, perancangan pembangunan

BUKAN hanya berperanan sebagai mekanisme amaran awal, Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar (EQMP) dilaksana Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar turut membantu menyediakan input penting bagi aktiviti penguatkuasaan dan perancangan projek pembangunan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sistem EQMP itu adalah program pemantauan terbaik bagi memantau pencemaran alam sekitar seperti jerebu; tumpahan minyak; bencana industri dan pelupusan haram buangan yang dihadapi negara sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, sistem yang dibangunkan itu membabitkan pembinaan stesen pengawasan kualiti udara; stesen pengawasan kualiti air sungai dan stesen pengawasan kualiti air marin.

“Data-data pengawasan alam sekitar yang diperoleh daripada stesen pengawasan berkenaan akan disalurkan ke Pusat Data Alam Sekitar dimana ia kemudiannya akan menjadi petunjuk kepada agensi, jabatan dan kementerian untuk melaksanakan tindakan-tindakan seterusnya.

“Data yang diterjemah itu akan menjadi gambaran tentang status semasa kualiti alam sekitar. Secara keseluruhannya, program EQMP yang dilaksanakan itu adalah kaedah pengukuran alam sekitar yang amat relevan dengan keperluan masyarakat di negara ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program EQMP di sini, hari ini.

Katanya, buat masa ini, pihaknya hanya berkongsi data indeks pencemaran udara (IPU) kepada masyarakat namun, data bagi kualiti air sungai dan air marin pula tidak didedahkan lagi kerana masih menunggu kebenaran daripada Kabinet.

Wan Junaidi berkata, pihaknya akan menghantar nota kepada Kabinet dalam masa terdekat bagi mendapatkan kebenaran untuk mendedahkan data kualiti air sungai dan air marin kepada masyarakat.

Menurutnya, pihaknya juga ingin memaklumkan bahawa negara kini sudah berkeupayaan mengukur kualiti udara menggunakan parameter PM2.5 iaitu habuk halus bersaiz 2.5 mikrometer.

“Setakat ini, sebanyak 82 buah stesn pengawasan kualiti udara yang baru akan beroperasi membabitkan 65 buah stesen automatik; tiga buah stesen bergerak dan 14 stesen manual.

“Selain itu, sebanyak 1,353 stesen pengawasan baru manual bagi kualiti air sungai akan digunapakai dalam sistem EQMP. Manakala, sebanyak 398 stesen pengawasan air marinturut dipasang,” katanya.

Katanya, pemasangan sistem EQMP juga adalah penambahbaikan kepada sistem pengawasan terdahulu yang digunapakai sejak tahun 2012.

Wan Junaidi berkata, Pakar Scieno TW Sdn Bhd adalah syarikat yang dilantik menerajui sistem EQMP selama 15 tahun bermula tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 7:46 PM
Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/10/271714/eqmp-input-penting-penguatkuasaan-perancangan-pembangunan
Kredit Foto : www.hmetro.com.my