Kakitangan PSTW Sedang Menjalankan Kerja-kerja Proses Kawalan Mutu untuk Kit Pengawasan Kualiti Air

16 MARCH 2021: Satu kit pengawasan kualiti air sedang dibangunkan oleh pihak syarikat PSTW bagi tujuan melaksanakan aktiviti pengawasan kualiti air sungai yang akan melibatkan komuniti tempatan. Kit tersebut akan digunakan bagi pengawasan yang merangkumi beberapa kaedah, iaitu pengawasan melalui penglihatan dan pengesanan bau, ujian kimia dan juga pemerhatian biologi.

Kini, pihak syarikat PSTW sedang melaksanakan proses kawalan mutu (quality control) terhadap kit tersebut bagi memastikan data yang diperolehi adalah benar dan tepat, dengan mengambil kira perbandingan data yang dijana daripada alat pengawasan kualiti air EXO2 multiparameter sonde dan juga data analisis daripada makmal.

Keberhasilan daripada penggunaan kit pengawasan kualiti air tersebut suatu hari nanti diharapkan akan memberi impak positif kepada kelestarian sungai di Malaysia dengan adanya penglibatan yang giat dan komitmen yang berterusan daripada komuniti tempatan.