Program Pembersihan di Perairan Terumbu Karang dan Pantai Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia di Pulau Perhentian, Terengganu

1 JULAI 2022: Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2022, Pakar Scieno TW Sdn Bhd (PSTW) telah menganjur Program Pembersihan di Perairan Terumbu Karang dan Pantai di Pulau Perhentian, Terengganu. Program ini merupakan inisiatif CSR oleh PSTW dengan jemputan dan penglibatan kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Taman Laut (JTL).

Objektif program ini diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar, disamping usaha memastikan kelestarian ekosistem marin terpelihara.

Seramai 18 kakitangan daripada JAS telah menyertai program ini, termasuk seramai 12 penyelam, manakala penyelam daripada JTL juga turut terlibat dalam aktiviti pembersihan turumbu karang.

Program ini telah bermula pada 1 Julai 2022 dengan aktiviti pembersihan pantai di kawasan Kampung Nelayan yang juga turut melibatkan sebilangan penduduk kampung, diikuti pembersihan di Pantai Keke. Pelbagai macam sampah telah dikutip yang sebilangan besarnya adalah dalam bentuk plastik (polietena dan polistirena). Kaedah merekodkan pengutipan sampah yang digunapakai adalah berdasarkan Guideline for Monitoring Marine Litter on the Beaches in the OSPAR Maritime Area. Pada 2 Julai 2022 pula, pembersihan di perairan terumbu karang di tiga tapak telah dijalankan yang melibatkan penyelam-penyelam daripada PSTW, JAS serta JTL.

PSTW ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program CSR kami! InshaAllah, semoga bertemu lagi dalam program-program CSR yang akan datang!